Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Tuesday, March 2, 2010

Ceritera IKHLAS..

Assalamualaikum..

Akhir-akhir ini, panas membahang, menyelubungi bumi Sintok dan sekitarnya, pepohon kekeringan,umat manusia kegelisahan, kepanasan.. turunnya bebutir hujan membasahi bumi amat-amat diharapkan..Namun yang dinanti tak kunjung tiba, mentari tetap bersinar gagah menembusi kepulan awan nipis yang berarak perlahan mengikut rentak angin.

Kesyukuran tak terhingga dipanjatkan kepadaNya atas segala nikmat yang dikurniakan. Minggu-minggu yang berlalu penuh dengan hikmah dan pengajaran.

Kisah 1: Misi Islah Bersama Masyarakat

Hujung minggu, beberapa minggu lalu, diberi peluang oleh Allah untuk bersama insan-insan bersemangat waja, berhati kental dalam menyuburkan syiar Islam, membawa misi pengislahan ke dalam masyarakat, mengaplikasikan teori dakwah yang dipelajari dalam usrah, daurah, tamrin dan katibah.

Kali ini lokasinya adalah Kampung Pulau Pisang, Jitra. Diketuai Swift biru, berkonvoi masuk meredah jalan kampung menuju destinasi yang ditetapkan tatkala mentari petang sedang galak bersinar. Ini kampung ke-3 yang 'ditawan' oleh Wanita dalam tahun ini, dan InsyaAllah akan ada lagi yang bakal menyusul.

Program kali ini, sepertimana misi konvoi yang lalu, direka khas untuk para ibu, anak-anak (aulad) dan para remaja. Bezanya kali ini, ada penambahan slot pemeriksaan kesihatan secara percuma. Ibu-ibu kelihatan sangat teruja untuk mengetahui tahap kesihatan masing-masing, tambahan pula dengan bekalan ubatan yang diberikan secara percuma kepada mereka.




Di program ini, ditakdirkan Allah untuk berjumpa seorang nenek, berusia lebih 70 tahun, yang pada fizikalnya kelihatan seperti berusia 50 tahun! Mampu berjalan kaki ke tempat program yang jauhnya boleh tahan, masih mampu membaca, tanpa cermin mata! Pendengaran juga sangat baik, malah dia tidak ada sebarang penyakit, yang lazimnya didapati pada insan-insan sebayanya.. Malah nenek ini juga kelihatan sangat ceria, menggambarkan hidupnya yang diselubungi kegembiraan dan kebahagiaan. Bila ditanya rahsia awet mudanya, ternyata ia bukan datang dari ubatan tertentu, sebaliknya dari KEIKHLASAN HATI yang penuh dengan kasih sayang, mendidik anak-anaknya yang ramai, sehingga semuanya berjaya! Kesakitan, kesusahan dan derita yang ditanggung untuk membesarkan anak-anak dibalasi Allah dengan nikmat kesihatan yang mengagumkan walaupun di saat meniti usia senjanya. Itulah, rahsia awet muda seorang ibu.

Kisah 2: Tamrin Zon Utara (TRAIN-U) 2010

Berkesempatan juga untuk menguruskan serta menyertai tamrin zon utara yang menghimpunkan sahabat-sahabat dari 4 negeri zon utara. Membawa tema Tarbiyah Bukan Segalanya, tapi Segalanya Bermula Dengan Tarbiyah, 150 pemuda pemudi Islam berhimpun di Kompleks Pendidikan Al Azhar untuk mengutip dan menghimpun mutiara-mutiara hikmah dan bekalan untuk mempersiapkan diri dalam melangkah di jalan dakwah.

Anak-anak muda ini diingatkan dengan bekalan yang diperlukan oleh dai'e dalam menapak di jalan dakwah berserta mehnah cabaran yang akan dihadapi saat menginfakkan diri di jalan ini. Juga perkongsian oleh beberapa insan yang telah disentuh hatinya oleh Allah untuk bersama-sama dalam barisan ini. Bagaimana daripada insan yang kosong jiwanya, longgar pegangannya akhirnya telah dipilih Allah untuk diisi hati-hati mereka dengan sinar hidayah yang mengerakkan jasad dan roh mereka kearah pengabdian sepenuhnya kepada Allah, bagaimana peranan seorang dai'e yang menjadi asbab transformasi insan-insan pilihan Allah ini.



Dengan berbekalkan sekali lagi, KEIKHLASAN HATI dan nilai-nilai murni seorang Muslim sebenar yang ditunjukkan oleh para da'ie, akhirnya disinilah insan-insan pilihan tadi berdiri, meneruskan legasi kerja-kerja Dakwah dan Islah dengan harapan insan-insan lain disekeliling mereka dapat merasai akan manisnya sentuhan hidayah Allah sebagaimana yang dirasai mereka satu masa dahulu. Subhanallah, rasa sungguh bertuah ditakdirkan Allah berkenalan dengan kata-kata keramat Dakwah dan Islah, tanpanya mungkin kehidupan ini sekadar berlalu tanpa ada apa-apa istimewanya.

Kisah 3: Surah Yunus ayat 24

"Sesungguhnya bandingan kehidupan dunia hanyalah seperti air hujan yang Kami turunkan dari langit, lalu (tumbuhlah dengan suburnya) tanaman-tanaman di bumi dari jenis-jenis yang dimakan oleh manusia dan binatang - bercampur-aduk dan berpaut-pautan (pokok-pokok dan pohonnya) dengan sebab air itu hingga apabila bumi itu lengkap sempurna dengan keindahannya dan berhias (dengan bunga-bungaan yang berwarna-warni), dan penduduknya pun menyangka bahawa mereka dapat berbagai-bagai tanaman serta menguasainya (mengambil hasilnya) datanglah perintah Kami menimpakannya dengan bencana pada waktu malam atau pada siang hari lalu Kami jadikan dia hancur-lebur, seolah-olah ia tidak ada sebelum itu. Demikianlah Kami menjelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi kaum yang mahu berfikir (dan mengambil iktibar daripadanya)."

Usai tamrin selesai, pimpinan Kedah berkumpul untuk mesyuarat berkala kali ke-2, berdiskusi serta duduk bersama merangka gerak kerja agar misi Dakwah dan Islah dapat dipacu sekencang dan semaksima mungkin. Tersentuh dengan tazkirah pembukaan oleh seorang ikhwah, saat dibacakan ayat ke-24 dari Surah Yunus. Bagaimana Allah menggambarkan kehidupan para da'ie ibarat titisan hujan yang menyuburkan bumi. Insan yang bergelar da'ie sedaya mungkin berperanan menyuburkan syiar Islam ke muka bumi hingga terzahirlah masyarakat yang hidup berlandaskan syariat Islam, umpama pepohon, tumbuhan, bebunga dan buah-buahan yang segar, subur dengan penuh warna warni. Sehingga akhirnya si da'ie merasakan dia akan beroleh ganjaran dari usahanya 'bercucuk tanam' menyubur panji Islam di muka bumi sehingga sedikit demi sedikit terhakis KEIKHLASAN HATInya dalam menggerakkan usaha dakwah, lantas saat itulah Allah menghancurkan semua 'hasil tanamannya' kerana telah hilangnya ramuan utama dalam gerak kerjanya yang seharusnya bertunjangkan keikhlasan kerana Allah s.w.t..

Begitulah ceritera IKHLAS yang mewarnai mingu-minggu yang berlalu. Terima Kasih padaMu Ya Allah, masih banyak ruang dalam diri ini perlu dibaiki, masih banyak kerja-kerja yang perlu dilaksana di keterbatasan waktu yang ada ini. Waktu terus berdetik, berlalu pergi meninggalkan daku, sedang amat sedikit tugasan yang telah terlaksana, bahkan terlalu banyak hutangku padaMu Ya Allah. PadaMu kumohon sedikit lagi masa, juga sedikit kekuatan buat meneruskan tugasan-tugasan terakhirku..

Wassalam

No comments: