Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Monday, April 11, 2011

Ukhwah Mee Segera.

Assalamualaikum.

Ukhwah mee segera? Jenama mee segera yang baru ke?

He he.. Tak lah (^_*).. erm, meh nak cerita.

Beberapa minggu lepas, saya dan sahabat-sahabat ikuti kelas Tafsir dan Hadis mingguan. Kelas ni istimewa, sebab kumpulkan pak cik, mak cik, ikhwah akhawat yang sepanjang hari minggu sibuk dengan kerja masing-masing, jadi di sinilah kami berkumpul melepaskan penat bekerja dan meluahkan rindu pada sahabat-sahabat. Tambah ilmu sambil berukhwah, pakej yang sangat baik, Alhamdulillah!

Sambil-sambil tunggu ustaz mulakan pengisian, saya lirikkan pandangan ke segenap sudut masjid, sambil 'mengintai' gelagat adik-adik, sahabat-sahabat dan mak cik-mak cik yang nampaknya seronok dan rancak bersembang. Tercuit hati, macam-macam ragam ada, yang muda dengan cara mereka, yang 'senior' juga dengan ragam masing-masing. Nun, di hujung sana, saya ternampak seorang mak cik tengah mengurut lembut tangan seorang lagi mak cik yang lain. Mak cik yang sedang diurut tu nampak macam sedang bercerita sesuatu kepada sahabatnya yang sedang mengurut tangannya, mungkin dia luahkan kepenatannya seharian dalam minggu ni, atau mungkin bercerita tentang aktiviti yang dia buat hingga naik lenguh tangan dan urat sendinya. Mak cik yang mengurut tu pulak nampaknya menjadi pendengar yang baik, sesekali mengangguk, sesekali turut menjampuk, seolah memahami benar apa yang sahabatnya rasa. Tangan tak lepas, terus mengusap lembut tangan sahabatnya.

Entah mengapa, saya rasa sangat sayu, terharu tengok keakraban mak cik yang berdua ni. Saya pandang sahabat-sahabat saya yang sedang sedia duduk di barisan hadapan menanti kuliah dimulakan. Terdetik di hati, apakah bila kami seusia mak cik tadi, kami akan terus saling menyokong, saling berdekatan seakrab mereka itu? Ataukah nanti kami akan terpisah oleh waktu dan kerjaya yang berhambatan? Mampukah saya menjadi pendengar yang baik tika itu buat sahabat-sahabat saya? Atau masing-masing larut dalam kehidupan masing-masing? Bagaimana ukhwah kami tika itu? Masihkah sesegar dedaunan disapa embun di pagi hari, atau umpama dedaun kering yang luruh di musim panas? Ada rasa sayu bergayutan di hati.

Saya ingat lagi waktu usrah, pernah kami bincangkan, betapa hebatnya ukhwah Rasulullah saw dengan sahabat-sahabat baginda. Hinggakan mendengar saja derap kaki sahabat berjalan, baginda dah boleh meneka siapa gerangan sahabat itu. Kita? Erm, mungkin tak smpai tahap itu kita mengenali sahabat kita, namun sekurang-kurangnya nampak saja susuk tubuhnya walaupun dari belakang, kita dah boleh cam kan?

Inilah juga yang ditekankan dalam rukun usrah, di mana kita mengenali sahabat kita, bukan sekadar sahabat, bahkan sebagai ahli keluarga. Bukan saja tahu latar belakangnya, malah tahu apa yang dia suka, apa yang dia tidak suka, hingga seboleh-bolehnya nampak saja riak wajahnya, dengar saja suaranya, atau baca saja tulisannya (di telefon atau fb), kita dah dapat tahu apakah dia sedang dalam gembira, sedih atau mungkin ada masalah yang dia hadapi. Yang lebih hebat lagi ukhwah tu kalau tanpa melihat wajah, tanpa mendengar suara, tanpa membaca tulisan sahabatnya, dia dapat merasakan di dalam hatinya, bahawa sahabatnya mungkin sedang menghadapi masalah. Fuh, hebat kalau boleh sampai ke tahap itu!

Waktu belajar dulu seorang ustaz pernah kata, "...orang perempuan ni kadang-kadang, kalau 'roomate' depa terlupa pelawa maggi (mee segera) pun dah merajuk, masam muka, tak bertegur sapa sampai sebulan.." Kami sambut gurauan ustaz dengan senyuman, sambil tak menafikan, orang perempuan ni, sensitif sikit. Itu tandanya dia merasakan sahabatnya sangat istimewa lalu cepat berkecil hati bila rasa dilupakan. Namun begitu sebagai orang Islam, yang diajar oleh Allah menerusi baginda nabi tentang adab berakhlak dengan sesama manusia, harus ingat bahawa Allah cukup tidak sukakan permusuhan, dan Allah menegah kita bermasam muka lebih dari 3 hari.

"Tidak halal bagi seorang muslim tidak bertegur sapa lebih dari tiga hari, yang lebih baik antara keduanya adalah yang memulakan salam" (HR Bukhari)

Dalam bersahabat, kita tak boleh mengharapkan kesempurnaan dari sahabat kita, kerana pertamanya, kita juga tidak sempurna. Yang kedua, menurut Ustaz Pahrol, kita bukan bersahabat dengan malaikat, jadi kita harus akur dan redhalah dengan kelemahan sahabat kita. Kadangkala memang ada berlaku perselisihan, tapi kita ambillah dari sudut positif. Analogi ustaz Pahrol lagi, kalau kedua belah tapak tangan kita kotor, macamana kita nak hilangkan kotoran pada keduanya? Kita menggeserkan kedua tapak tangan kita, kan? Begitu juga pergeseran antara kita dengan sahabat janganlah mencetuskan permusuhan yang berlarutan, sebaliknya anggap ia sebagai satu proses untuk kita lebih kenal sahabat kita, tahu kelebihan dan kekurangan dia, faham apa yang dia suka dan tidak suka.

Bila terjadi perselisihan, cepat-cepat redakan keadaan, berbaik sangka dan mohon kemaafan. Tak timbul persoalan siapa yang bersalah kepada siapa, siapa yang perlu minta maaf kepada siapa, sebaliknya yang paling baik adalah yang terlebih dahulu meminta maaf dan memberi maaf. Tapi kita selalunya, "Eh, kenapa pulak aku yang kena minta maaf dulu? Dia yang buat salah pada aku!", kata pihak A. Pihak B pulak kata, "Sebab dialah benda ni jadi macam ni, semua ni salah dia". Erm, sebenarnya, keegoan kita yang menghalang kita meminta maaf dan memberi maaf. Rugilah kita, kalau ikut hawa nafsu yang jahat. Syaitan juga yang menang akhirnya.

Jadi, bila perselisihan terjadi, duduk beristighfar kepada Allah, kenang kembali saat-saat manis persahabatan kita, kebaikan dan pengorbanan sahabat kita kepada kita, berlapang dada dan cubalah jernihkan kembali suasana. Langkah pertama, mohon maaf, walaupun sekiranya jelas dan nyata dia yang bersalah. Janganlah kerana perkara kecil, kita lupa semua kebaikan yang dalam ada persahabatan kita, ruginya!

Jangan jadi seperti ukhwah mee segera. Cepat dimasak, ketika panas, sedap dimakan. Tetapi lama kelamaan, bila dah sejuk, mee dah kembang, tekak kita pun dah muak, tak mampu nak telan, makan separuh, yang lainnya buang! Biarlah ukhwah kita sentiasa 'panas', segar dan 'menyelerakan' walau selama mana ia 'terhidang'. InsyaAllah.

Baiklah, setakat ini dulu. Ingat dan kenanglah ukhwah kita seumpama karang di lautan, biar di landa badai, biar dipukul gelombang, tetap ia utuh dalam pautan keredhaan. Sesungguhnya kita semua saudara, yang lebih istimewa adalah kerana kita disatukan dalam akidah yang sama, bertuhankan Tuhan yang sama, jadi seharusnya kita juga bersama dalam mengekalkan keindahan dan keutuhan ukhwah kita, insyallah. Salam sayang buat semua, semoga ukhwah kita harum dan kekal selamanya, hingga ke Syurga, insyaAllah.

Ayuh kita hayati hadis ini sebagai penutup tinta, Dari Abu Musa Al-Asyari ra, dari Nabi saw, ia berkata, “Orang mukmin dengan mukmin lainnya laksana bangunan yang satu bahagian dengan bahagian lainnya saling menguatkan – Rasulullah merangkai jari-jarinya,” (Bukhari)

Wassalam.

3 comments:

tokwan muda said...

Assalamu'alaikum,betul tu persahabatan itu biarlah disirami baja-baja iman dan taqwa kerana Allah. Alhamdulillah uum pun punya ramai sahabat yang sangat baik dikala susah dan senang bersama...sedih bila kami berpisah tatkala tugas meuntut ilmu di bumi hijau sintok ini dah berakhir T_T

hardy boy said...

menarik entry & blog saudari ni, saya follow blog saudari, jemput follow saya kembali ye & salam ukhwah (^_^)

Anonymous said...

salam, bol;eh x sy nk tahu bagaimana caranya sy boleh dapatkan buku Phd kecil tapi signifikan.?ape penerbit buku tersebut ye