Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Monday, April 11, 2011

'KETENANGAN ada dijual di sini!'

Assalamualaikum..

Pernah tak nampak 'signboard' macam ni, "KETENANGAN ada dijual disini, dapatkan segera!!". Atau iklan macam ni, "KETENANGAN untuk dijual" ataupun bila buat carian di mudah.com, jumpa "Untuk dijual: KETENANGAN". Pernah tak kita jumpa? Erm.. saya yakin, belum pernah ada ketenangan terjual di mana-mana.

Penting ke ketenangan ni?

Pernah sesekali atau kerapkali mungkin, dalam hidup ini, kita di uji dengan dugaan yang kita rasakan sangat berat, hingga kita jatuh terduduk, tergamam, terpana. Terasa jiwa yang tenang mula berombak. Fikiran yang lapang terasa sesak. Dunia yang semalamnya cerah, hari ini terasa gelap gelita, tiada cahaya, tiada apa-apa. Kita teraba-raba, mencari tangan-tangan untuk berpaut, mencari bahu-bahu untuk bersandar, mencari dinginnya embun nasihat buat menyejukkan hati, saljunya madah kata pemujuk jiwa yang bisa mengembalikan kelamnya hidup kita. Kita tercari-cari mana pasangan, anak-anak, sahabat-sahabat kita. Adakah ketenangan ada bersama mereka?

Namun, kita rasa hampa, kerana tiada tangan yang datang menghulur, tiada bahu yang datang mendekat, tiada curahan kata, tiada madah pujangga, tiada apa-apa. Sedang hati kita semakin terjerut kehibaan, mengenang dugaan yang semakin memberat, sedang jalan keluar seakan tidak kelihatan, kita seolah-olah tersesat di hutan belantara, di malam kelam yang tiada bintang, tiada juga bulan penunjuk haluan.

Mungkin juga sesekali, seolah kedengaran sayup-sayup bantuan yang datang, ada insan-insan yang cuba menghulurkan pertolongan. Namun, suami/isteri, anak-anak, sahabat, saudara, juga tidak dapat meminjamkan ketenangan itu kepada kita. Entah mengapa, semuanya bagai tak kena. Masalah yang menimpa tidak juga menampakkan penyelesaiannya, sedang insan di sekeliling kita tidak mampu berbuat apa-apa untuk membantu kita. Kita keseorangan. Sendirian. Dalam kegelapan. Kebuntuan.

Sungguh, kita terasa ingin lari jauh. Jauh. Kemana-mana saja. Asalkan kita terlepas dari belenggu yang menyesakkan fikiran ini. Kita mahu mencari sesuatu. "Ya Allah, berikan aku KETENANGAN". Ya, tiada apa yang lebih kita inginkan, tiada lain yang kita perlukan saat ini, melainkan KETENANGAN. Kita ingin Allah pinjamkan kita ketenangan, biarpun seketika, biarpun hanya sedetik cuma.

Kita cuba memujuk hati yang walang, cuba mencari ketenangan yang diimpikan. Pergi bercuti untuk menenangkan fikiran. 'Window shopping'. Keluar berhibur dengan rakan-rakan. Bermacam-macam cara kita mencuba, namun gundah jiwa kita masih tidak berkurang, dugaan yang menimpa tidak juga surut, malah makin menyesakkan fikiran.

Kita mencari-cari dimana kita bisa mendapatkan ketenangan itu. Andai ia terjual di mana-mana, ya! dalam saat ini kita rela berikan segalanya untuk sebuah ketenangan. Andai apa jua syaratnya, kita pasti mahu memenuhinya, asal saja kita mendapat ketenangan itu. Andai ada manusia yang menyimpan ketenangan itu, akan kita cari dia walau di puncak mana dia berada. Semuanya demi ketenangan. Kita umpama pengembara yang kehabisan bekalan air, di padang pasir yang panas terik. Walau segunung permata yang kita miliki pada saat itu, tidak berguna, kerana yang kita perlukan adalah air. Dan sekiranya ada yang mahu menukarkan segelas air dengan permata yang kita miliki, maka kita sanggup!

Sungguh, ketenangan ini adalah satu anugerah yang sangat istimewa. Kerana ia tidak dimiliki oleh sesiapa, melainkan Allah swt. Manusia tidak dapat memberikan ketenangan, harta bertimbun bukan syarat memiliki ketenangan, paras rupa bukan juga tukaran ketenangan, keluarga dan sahabat bukan jaminan, kerana di sinilah terletaknya keadilan dan keagungan Allah swt.

Andai saja ketenangan itu mampu dibeli oleh si kaya, maka bagaimana dengan mereka yang miskin? Kalau ketenangan itu syaratnya kecantikan rupa paras, maka bagaimana dengan si hodoh? Sekiranya ketenangan itu pada pangkat yang tinggi, bagaimana pula dengan si hamba? Andai ketenangan itu pada kaum kerabat dan keluarga, bagaimana dengan si yatim piatu yang tidak punya sesiapa? Maha Adilnya Allah swt.

Indahnya, Allah meletakkan ketenangan pada hati-hati yang dekat denganNya, firman Allah: “Dialah Tuhan yang menurunkan ketenangan ke dalam hati orang yang beriman, supaya keimanan mereka makin bertambah daripada keimanan yang telah ada. Kepunyaan Allah tentang langit dan bumi, dan Allah itu Maha Tahu dan Bijaksana.” (Al Fath: 4.)

Ya, pastinya segala sesuatu di atas dunia ini ada harganya, begitu juga dengan ketenangan. Harganya bukan tukaran wang mahupun harta, namun adalah keimanan kepada pemiliknya ketenangan. Mana mungkin kita mendapat ketenangan, kalau pemiliknya kita dustakan! Lalu bila hatimu dipagut resah, jiwamu hilang arah, hatimu dirundung gundah, maka mendekatlah kamu kembali kepada Allah! Mintalah kepadaNya. Hanya Dia. Hanya Dia yang mampu menurunkan ketenangan itu ke dalam hatimu. Dialah saja yang berkuasa mendamaikan hatimu, sedamai sungai mengalir tenang, sedingin salju menyejukkan perasaan, sebening awan berarak perlahan. Itulah yang ditunggu-tunggu, bagi pemilik jiwa yang kegundahan.

Lantas, yakinlah kita bahawa tiada sesiapa, tiada apa-apa yang mampu menghadiahkan ketenangan itu, melainkan Allah swt. Namun tidakkah kita malu, di saat kita perlukan sesuatu, kita mencari-cari Allah, namun saat kita telah memperolehi apa yang kita mahu, kita lupa! Kita lupa kepadaNya. Allahu Rabbi, di manakah tempatnya Allah di hati kita? Mungkinkah ini sebabnya Allah menarik seketika ketenangan dalam jiwa kita, kerna kita telah jauh dariNya, kita lupa kepadaNya!

Ayuh, sama-sama kita. Andainya ada ketenangan di hati kita saat ini, maka bersyukur dan ingatlah selalu kepadaNya. Namun sekiranya ketenangan itu diambil seketika olehNya, maka kembalilah bersegera membawa hati kita kepadaNya....Dia sedang menunggumu, Dia sedia menyambutmu. Tunjukkan padaNya hatimu yang terluka. Adukan padaNya betapa kau kecewa. Kisahkan padaNya betapa kau hiba. Pasti kau takkan kecewa kerna Dia sungguh kasih kepadamu, walaupun hari-hari yang lalu kau pernah dan seringkali melupakanNya. Namun hari ini pabila kau datang padaNya, Dia akan 'berlari' mendapatkanmu. Namun ingatlah, jangan pernah lupa kepadaNya bila telah Dia berikan ketenangan lalu membebaskanmu dari belenggu kesukaran!

Bukankah Dia terlebih dahulu memujuk kita hambaNya, "(iaitu) orang-orang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah . Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram."(Ar-Ra’d: 28)

Wassalam.

7 comments:

Nur Hazwani said...

tahniah~ akhirnya update gak..blog pun lawa dah :D

Ayu Zamani said...

Huk..huk.. ingat da 'mati' aritu, naseb baik boleh idup lagi.. ni pun cam x puas ati lg ngan template ni.. hu hu

Nur Hazwani said...

kene tghkan cket kot entrynya.. backgroud dah lawa dh..huhu.. adjust cket je lg..hehe ^_^

Nur Hazwani said...

kene tghkan cket kot entrynya.. backgroud dah lawa dh..huhu.. adjust cket je lg..hehe ^_^

Ayu Zamani said...

huk.huk boley ke.. akk da tgk, tp cam bunge kat kanan ni dia saje je nak bg nampak jelas..

Nur Hazwani said...

hem, cube akk gi design, pastu template designer, pastu klik kat adjust widths. kalau takleh gak, kene tuko template lain la. kalau tanak, biarkan je cmni. yg ni pun ok je ^_^. Lg 1, akk jgn lupe letak email nak tau sape yg komen kat blog, nnti senang nak rply. Akk gi kat setting, cari tab comment pastu scroll sampai bwh cari comment notification email. then masukkan email akk la. Nnti sape2 komen,masuk kat email nnti. Better masukkan email yg selalu akk bukak la. kalau dh buat tapela. sbb jumpe ramai gak yg tatau pasal ni. saje sy nak share dgn akk, kalau dh buat okla. hehe.

Ayu Zamani said...

ok, tg for sharing..