BismillahirRahmanirRahim.
Peringatan: (Apa kes peringatan di perenggan pertama ni).. he he.. Peringatan bahawa entri ni bukan entri tambah ilmu, jadi bolehlah pembaca abaikan entri ini, atau pindah ke blog lain yang lebih bermanfaat. Your life, your choice. He he... Ha, yang bernama Mohd Razman b Ramzan tu, sila jangan berganjak ya, he he he. Ini entri khas untuk abang.
Kalaupun ada yang akan kata, "Dah tu siapa yang suruh tulis kat blog yang public, privatekan saja" tapi saya nak tulis jugak kat sini, mana tahu satu hari nanti, kita boleh duduk sama-sama, sambil makan betik yang masak ranum, di bawah pohon nyiur yang melambai tenang, mengimbau kembali nostalgia yang telah kita tinggalkan, mengenang kembali memori yang pernah kita catatkan.
Eh, jap. Saya belum minta izin abang nak tulis ni. Ok, saya sms abang jap.
"Abang, boleh tak saya nak tulis tentang anniversary kita kat blog?", taip saya di skrin telefon.
"k, tulisla", cepat dan ringkas balasan abang.
"Tq, kalau abang tak suka, lepas baca kita delete tau", sms seterusnya dihantar.
"k", balasan seterusnya diterima.
Hik hik, awal-awal nikah dulu, dapat reply "k" je mulut saya mengomel.
"Kita penat-penat tulis panjang-panjang, dia reply 'k' je"
Hi hi hi... sekarang dah tak mengomel dan merajuk dah, sebab dah faham abang, walaupun masih belum sepenuhnya, Alhamdulillah.
Abang,
Abang tau tak hari ni hari apa? (ok, tiru skrip drama). Hari ni, genap setahun kita diijabkabulkan. Rasa sekejap sangat kan, bang? Dah setahun dah. Ingat lagi masa taaruf kita kat rumah ustaz dan ustazah. Abang nampak cool je lepas ustaz suruh abang perkenalkan diri. To be honest, he he... telinga saya tak dapat tangkap sangat pun apa yang abang cakap waktu tu, sebab berdebar yang amat, Allah saja yang tahu. Hu hu.. Dengan 6 pasang mata yang perhatikan kita, adoi.. macam nak luruh jantung! Mata dok renung lantai, agaknya kalau ada kuasa macam superman, dah berlubang rumah ustazah tu. he he he.
Bukan kita tak biasa berurusan, uruskan daurah, mesyuarat, program-program aktivisme dan sebagainya, tapi kalau bab macam ni memang tak pernah la. Sebenarnya itu salah satu yang saya suka, abang tak pernah bagi hint pun sepanjang kita berurusan (atau saya yang tak pandai baca ??? he he..). Saya tak berapa gemar sikit lelaki yang suka luah perasaan secara terbuka ni. Terima kasih jugak pada mak cik pak cik yang terus berusaha keras untuk menyatukan kita walaupun beberapa kali kita masing-masing menolak.
Abang,
Lepas ta'aruf, Alhamdulillah Allah permudahkan segalanya. Sebelum abang pergi jumpa sendiri dengan ma dan abah, abang tanya saya, adakah saya benar-benar sudi menjadi isteri abang. Abang kata, sebelum-sebelum ni saya asyik menolak (abang pun, kan), jadi abang agak pelik saya terima lamaran ustazah kali ni. Abang takut saya terima lamaran tu sebab terpaksa, atau segan dengan ustaz ustazah dan pak cik mak cik yang bersungguh-sungguh nak menjodohkan kita.
Abang ingat lagi saya jawab apa? (^_______^)
Abang jumpa abah dan ma. Alhamdulillah mereka suka pada abang. Lepas tu saya pulak pergi rumah Tok, jumpa keluarga abang buat pertama kalinya. Abang tau, itu kali kedua saya rasa berdebar yang amat sangat! Nasib baik ustaz dengan ustazah temankan, mewakili ma dengan abah. Masa tu, abah abang tak ada, mak je ada temankan Tok, Wan. Oh ya, Mak su dengan anak-anak dia pun ada. Rumah besar tu rasa sangat asing, terlalu luas di jangkauan penglihatan saya. Saya membisu seribu bahasa, ustaz dengan ustazah je yang bersuara, berbual dengan mak dan Tok. Abang ada masa tu, dukung bang cik. Saya tak pandang abang, abang pun tak tengok saya (ke abang kerling dari jauh? he he he)
Tak lama lepas tu, keluarga kita sepakat dengan satu tarikh pertunangan, 8 Julai 2011. Malam tu, abang sms saya beberapa kali. Sekejap tanya nama ma dengan abah, sekejap tanya pekerjaan ma dengan abah, maklumla, kita tak habis ta'aruf lagi he he, baru mula nak kenal secara peribadi pun sebenarnya. Sebab tu bila pak long, yang akan jadi orang tengah majlis pertunangan kita bertanyakan banyak soalan, abang terpaksa tanya saya. Mesti keluarga kita pun pelik, kan? Macam mana nak kawin tapi tak kenal sangat ni. Abang ingat apa abang jawab hari tu? Saya doakan kata-kata abang tu akan terus menjadi petanda untuk kebaikan yang berganda, insyaAllah.
Alhamdulillah, majlis pertunangan kita berjalan lancar walaupun simple. Ustaz jadi jurucakap bagi pihak keluarga saya, alang-alang ustaz yang jadi orang tengah kita sejak mula. Sementara nak tunggu dipanggil untuk disarungkan cincin, sempat lagi saya jadi motivator kepada seorang kawan yang temankan saya tu, dia baru saja putus tunang beberapa hari sebelumnya.
Di majlis pertunangan pun kita saling membisu seribu bahasa. Sampai depa ingat kita gaduh, kan? Nak gaduh macam mana, berkawan rapat pun tak pernah. hi hi hi..
Sebaik ma panggil saya untuk disarungkan cincin, saya tanya ma, "Bila tarikh nikah, ma?" Tu la, orang dok bincang kat luar, saya dok bincang kat dalam. he he he.
"Lepas raya", jawab ma.
"Raya mana?", tanya saya.
"Raya ni la, bulan 9", jelas ma sambil memimpin tangan saya keluar.
Saya mencongak dalam kepala. Ni bulan 7, maknanya 2 bulan lagi la. Allahu Allah. Biar betul ni, nak buat persiapan dalam masa kurang 2 bulan. Tetapi, Alhamdulillah Allah rancang dan susunkan yang terbaik untuk kita, walaupun dalam masa yang singkat.
Esoknya (9 Julai 2011), ujian pertama buat abang selepas menjadi tunangan saya. Bertalu inbox saya dengan ucapan selamat hari lahir. Alhamdulillah, saya seronok sangat, sebab abang TAK WISH pun birthday saya. Ok, abang LULUS! He he he.. Pada saya, abang tahu batas abang, walaupun kita dah bertunang. Saya suka..saya suka..saya suka.. Tapi ada lagi ujian-ujian untuk abang. Alhamdulillah, abang dapat A untuk semuanya. Abang ada test saya tak? Haaaaa.. baik abang bagitau (^___*) Walaupun mungkin ada yang pelik sebab kita sangat jarang berhubung dalam fasa pertunangan, melainkan untuk bincangkan perkara-perkara berkenaan pernikahan (itupun selepas ustaz mintak kita bincang, sebelum ni apa-apa sms akan melalui ustaz dan ustazah dulu). Tapi, saya anggap itu sebagai rezeki Allah, perjanjian tidak berlisan antara kita, yang kita sendiri faham-faham. Kita bukan siapa-siapa, antara kita tiada apa-apa, sehinggalah selepas akad nikah. Saya bersyukur, abang berkefahaman yang sama. Sebab tu bila orang tanya, apa perasaan nak nikah? Saya kata, tak rasa apa-apa. Saya tak nak meletakkan harapan yang menggunung, hinggalah kita sah menjadi suami-isteri.
Dalam kesibukan membuat persiapan, sebulan berlalu dengan begitu cepat. Saya macam tak percaya (..dan ayat ni la abang ulang-ulang dari selepas nikah sehingga hari ni, kemudian saya nyanyi lagu Siti Nurhaliza 'Percayalah' kat abang sebagai balasan.. hi hi) Tak percaya saya dah bertunang, tak percaya saya akan nikah. Rasa semuanya sangat pantas. Saya pun 'pelik' dengan hati saya yang sangat tenang walaupun saya belum pasti apa yang saya akan hadapi di masa hadapan. Apapun saya selalu doa, andai pernikahan ini terbaik untuk saya, abang, keluarga kita, dakwah, ummah dan Islam, maka saya mohon Allah permudahkan urusan kita. Kalau sebaliknya, saya mohon Allah jauhkan kita dari segala kemungkaran terhadapNya. Doa ini saya ulang-ulang, sehinggalah sujud terakhir solat sunat hajat dan taubat saya sebelum majlis akad nikah kita.
Alhamdulillah, saya rasa peraturan Allah sangat indah. Segala kerungsingan saya sebelum menerima lamaran dari ustazah tempoh hari telah Allah atasi dengan sangat sempurna sekali. Mengenangkan saja bantuan-bantuan yang Allah hantar, saya jadi malu sendiri. Abang faham kan, bantuan yang macam mana. Sehingga apa yang dirasakan hampir mustahil, telah Allah realisasikan dengan mudah. Benarlah, tiada yang mustahil bagi Allah, yang penting kita kena letakkan sepenuh kepercayaan dan pengharapan kepadaNya.
Alhamdulillah, hari bersejarah tiba. Dengan persalinan serba putih, saya masih tak merasakan apa-apa, tak berdebar, tak nervous, biasa-biasa saja. Sebab saya masih tidak mahu meletakkan harapan, selagimana kita belum sah diijabkabulkan. Abang pun nampak cool saja. Khutbah nikah dibacakan. Saya masih terasa seakan bukan saya yang akan dinikahkan.heh. Cuma bila abah datang untuk minta izin menikahkan saya, saya rasa sebak sikit, terharu sambil hanya mampu mengangguk tanda mengizinkan.
Sebaik perkataan "sah!" dilafazkan tok imam, saya masih tenang (control ayu la katakan.. he he he) Doa dibacakan. Abang kata masa ni la baru abang pun mula berdebar kan, macam baru tersedar dah kawen pun kita..he he he.. Saya pulak, bila dah habis doa dibacakan, saya control ayu lagi. Bila saudara mara minta kita saling bersalaman, kita masing-masing terkaku tak berganjak. Dua, tiga kali disuruh, kita tetap juga diam membatu. Hingga terpaksa Kak Ja datang menautkan kedua-dua tangan kita dalam satu genggaman. Aiseh! Malu yang amat waktu tu, Allah saja yang tahu. Ha, baru la saya rasa, "Ok ni betul-betul punya, tak tipu, aku dah kawen!" Mode: Tak percaya! Punya la berdebar, sampai terketar-ketar tangan, present proposal PhD pun tak macam ni tau!he he.
Lepas tu terdengar pulak bisik-bisik suruh cium dahi. Alahai... abang tahu, saya doa banyak-banyak supaya abang tak cium dahi saya. Malu yang amat tau. Nasib baik abang macam faham-faham, abang tak buat pun..he he he.. (abang selalu boleh baca suara hati saya, kan?) Alhamdulillah, sahlah kita menjadi suami isteri. Dulu abang cuma seorang ikhwah, kini abanglah pintu syurga saya.
Maaf la, di majlis kenduri kesyukuran kita petang tu, saya selalu 'tinggalkan' abang. Selalu kawan-kawan kita tegur, sebab seorang ke kiri, seorang ke kanan.
"Eh, kenapa tinggal suami tu?", tanya mereka.
"Eh, lupa... he he", terkedek-kedek saya mendapatkan abang semula.
Mentang-mentangla kenduri sebelah saya, suka-suka je saya tinggalkan abang ya. He he. Kenduri sebelah abang, abang jangan tinggalkan saya tau! (Tapi, abang memang tak pernah jauh dari hati saya pun, selepas hari tersebut)
Dua, tiga hari tu kita masih di kampung saya. Saya cuba biasakan diri dengan kehadiran pendamping di sisi saya. Sebelum ni saya ada abah, ma dan adik-adik di sisi saya, kini ada abang, yang agak asing dalam dunia saya. Agak susah pada awalnya. Abang pun tentu rasa macam tu kan? Nak berbual pun saya tak tahu topik apa, apatah lagi nak bersembang panjang. Tapi Alhamdulillah, Allah mempertautkan hati kita cepat, dan erat.
Petang selepas kenduri tu, abang terlena sekejap, penat sangat agaknya. Ma suruh saya kejutkan abang, bangun makan. Aiseh, saya garu kepala yang tak gatal. Macam mana nak kejut ni? Sebelum ni saya panggil abang dengan 'akhi' atau nama saja, masa berurusan rasmi. Takkan saya nak kejutkan abang dengan hujung jari je, sambil panggil 'awak..awak' atau 'eh..eh'. Ke nak eja satu satu, 'A.B.A.N.G.. oo A.B.A.N.G'. Adush!! Akhirnya saya dengan rasa malu tersangat, yang amat dengan diri sendiri, akhirnya buka mulut juga dengan panggilan pertama kalinya buat abang. Hadoooii, bila dikenangkan rasa nak gelak guling-guling ketawakan diri sendiri.
Ingat tak lagi bila petang tu mak dan abah bawak kita minum air kelapa susu kat pantai? he he he.. Saya kenang saat itu sehingga akhir hayat saya, insyaAllah. Panas genggaman tangan abang. Tapi bukan sengaja saya nak jatuh tau, pasir putih tu yang bersalah..he he he.. sebagaimana petang itu abang memaut tangan saya, menyokong badan saya yang hampir rebah, saya harap abang terus memaut tangan saya, dan kita terus berpimpinan menuju jannah, insyaAllah.
8 jam dalam perjalanan kembali ke Kedah, pelbagai perkara kita bincangkan dan kita luah. Kita bina harapan dan cita-cita kita seiring masjid yang kita bina. Abang bercerita serba sedikit tentang abang, saya pun demikian. Alhamdulillah, kita temui banyak persamaan, dan perbezaan yang menjadi kelebihan. Dari lagu kegemaran, aiskrim dan pendapat berkenaan sesuatu isu, dari situ kita terus bersetuju untuk bertoleransi dan saling menyesuaikan diri.
Setahun. Setahun bukan masa yang lama, kan bang? Saya setuju kalau ada yang kata, kita belum cukup matang dalam bahtera rumahtangga, kita masih dalam tahun-tahun bulan madu, semuanya terasa masih indah belaka. Ya, saya setuju, bahkan sangat setuju. Malah di awal pernikahan pun, ada banyak perkara yang perlu kita ubah. Saya perlu berubah untuk sesuaikan diri dengan abang, dan tak terkecuali, abang pun macam tu, terpaksa banyak berkorban untuk saya.
Setahun ini, saya rasa amat bertuah dan bersyukur. Saya ingin mengenang setahun yang indah ini, supaya tahun depan, bila kita sambut ulangtahun pernikahan ke-2, saya sekurang-kurangnya masih boleh tersenyum dengan keindahan tahun ini, dan berharap tahun-tahun mendatang lebih manis dari ini. Kita akan lalui banyak lagi ujian, bang. Saya sangat yakin tentang itu. Tetapi sebagaimana saya meletakkan pengharapan yang tinggi ketika bertekad untuk menjadi suri hati abang, saya juga meletakkan sepenuh pengharapan dan keyakinan kepada Allah, yang telah menyatukan hati kita. Dia mentakdirkan kita jatuh cinta, semoga Dia juga membawa cinta kita hingga ke Syurga.
Tanggungjawab kita tidak terhenti sebaik diijabkabulkan. Bahkan, ia baru bermula, dan akan semakin besar, mencabar dan menguji kita. Saya tidak dapat berjanji untuk sentiasa menjadi sempurna untuk abang, tapi saya berjanji untuk terus teguh dibelakang abang, membantu abang, menyayangi abang selama-lamanya selagi diizinkan Allah.
Terima kasih buat abang, kerana sudi menjadikan saya suri hati abang, yang sudi memilih saya, yang telah menjadi suami yang terbaik, pendamping yang setia, yang sentiasa sabar dengan karenah saya. Sekarang saya tahu, apa maksud nasihat nenek saya semasa kita ditunangkan. Betul la, mata orang tu-tua ni berbahaya, deria penilaiannya tajam dan hampir tepat, mungkin kerana mereka terlebih dahulu makan garam.
Saya mohon maaf untuk semua salah silap saya yang SANGAT BANYAK sepanjang setahun ni, walaupun selalunya abang akan kata abang dah maafkan kesilapan yang lepas dan akan datang saya. Saya ingin terus menjadi suri hati abang, teman pendamping abang, sayap kiri perjuangan abang. Tegurlah saya, nasihatkan saya. Semoga kehadiran insan baru nanti bakal menambah seri bahtera kita. Abang selalu dalam doa saya (bintang kecil juga..)
Abang,
Pada coretan ini, saya hanya ingin tuliskan yang indah-indah, kenangkan yang indah-indah. Agar kalau suatu hari nanti, bahtera kita digoncang gelora (Ya Allah, jauhkanlah, lindungilah kami dari segala malapetaka dan bencana), kita boleh duduk kembali, merenung dan mengimbau kenangan yang indah ini, walaupun baru setahun yang tak lama bahtera rumahtangga kita dilayarkan. Hari takkan selalu cerah, mungkin hujan badai akan melanda. Tika ribut itu tiba, saya harap bahtera kita akan terus melebarkan layarnya meredah samudera yang bergelora. Saya tak ingin bahtera kita melabuhkan sauh di pertengahan pelayaran. Saya doakan begitu, selalu dan sentiasa, insyaAllah.
Salam sayang di ulangtahun pertama pernikahan kita. Semoga kasih sayang kita adalah dari redhaNya.Dan semoga ia kekal hingga ke Syurga, insyaAllah.
p/s: malam ni nak masak apa? he he he.. sambut raya 6 sekali dengan anniversary la. Jangan lupa tajuk entri, 'Pecah Kaca Pecah Gelas, Sudah Baca Harap Balas' he he he..