Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Monday, March 29, 2010

Apa Dosa Si Kecil Itu..

Assalamualaikum..

Salam ukhwah, salam perjuangan buat semua.. jap.. jap.. nak sapu habuk jap..fuh..fuuuuuhhh.. wah dah bersawang-sawang dah teratak ni, tak sempat nak menitipkan sebarang bingkisan.. Mac ni adalah bulan yang agak sibuk, cuba juga nak menulis beberapa entri, tapi nampaknya gagal.. jadi malam ni (dah pagi pun sebenarnya) adalah waktu terbaik rasanya, sebelum mentari subuh memunculkan diri, lalu putaran kehidupan bermula lagi, sekiranya diizinkan Allah..

Alhamdulillah, kesyukuran yang tidak terhingga buat yang maha Pencipta, yang masih mengizinkan hembusan nafas ini terus berirama, yang mengizinkan denyutan jantung ini terus berdegup sekata, yang mengizinkan pancaindera dan anggota badan ini terus berfungsi memudahkan pergerakan jasad, sambil dipandu oleh kewarasan akal yang berpaksikan keimanan kepada Allah s.w.t.

Sedih sekali sebenarnya akhir-akhir ini, sedih mengenangkan banyak perkara yang berlaku lewat penghujung usia dunia ini.. Kepincangan moral masyarakat, porak perandanya akhlak serta kewarasan akal yang semakin menyimpang dari tuntutan bertuhan..Setujukan kalian dengan kenyataanku, teman?

Lihat saja di kaca televisyen, dengar saja di corong radio, belek saja di dada-dada akhbar, Subhanallah.. apa yang sedang berlaku pada ummat ini? Seolah sengaja mencabar kekuasaan Tuhan! Bangga mempamerkan keingkaran secara terang-terangan.. seakan tidak pernah takut, apatah lagi malu pada Sang Pencipta..

Apa dosa si kecil itu? Saban hari kita mendengar (cukupkah dengan mendengar saja?) dan membaca berita-berita pilu tentang si kecil yang ditinggalkan dan dibuang merata-merata tanpa ada belas kasihan terhadap mereka..ada yang yang dibungkus hanya dengan sehelai kain nipis lalu ditinggalkan di depan masjid atau rumah, kekadang ditinggalkan saja di atas rumput dan ditepi longkang, lalu berteriaklah si kecil kesejukan, kelaparan dan kekadang kerana kesakitan dihurung semut.. yang bernasib baik, akan dijumpai oleh insan-insan yang berhati mulia, lalu didakapnya si kecil dengan penuh belas kasihan.

Namun sekental manakah tubuh si kecil untuk mengharungi malam yang panjang berseorangan dengan berselimutkan kedinginan yang makin menebal? Lalu dalam kepekatan malam, suara tangisan si kecil itu yang mulanya nyaring akhirnya tidak lagi kedengaran, jantung kecilnya berdegup semakin perlahan, lalu badannya juga mula kedinginan.. Bila akhirnya si kecil ditemui orang, jasad mulusnya tidak lagi bermaya, hanya terbaring longlai, tidak lagi bernyawa..

Menitis air mata ini tak mampu lagi menahan, saat mendengar berita yang lebih memeritkan, si kecil dilempar sewenang-wenangnya ke dalam sungai, hingga akhirnya dihanyut arus deras lalu tersangkut di celahan sampah sarap.. Ini bukan umpama kisahnya nabi Musa yang dihanyutkan ke sungai, jauh sekali bezanya.. betapa derita si ibu, saat melepaskan anaknya yang ditidurkan selesa dalam bakul kecil lalu dihanyutkan ke sungai, betapa berat hati si ibu, tika memikirkan nasib anak kesayangannya, namun kerana khuatir akan kejamnya dunia tika itu, si ibu menyerahkan nasib anaknya kepada sang Pencipta, dengan doa yang tidak pernah padam, agar anaknya selamat dalam jagaan Tuhan..Fitrah bertuhan alkhirnya memujuk dan memberi si ibu kekuatan..

Namun apa yang terjadi kepada si kecil di zaman ini jauh benar bezanya, si anak dilemparkan begitu saja ke dalam sungai, ibarat sampah sarap yang tiada nilaiannya..walhal, jasad kecil itu mungkin pernah bernyawa, jantungnya mungkin pernah berdegup dengan penuh harapan agar dia akan dikasihi oleh insan disekelilingnya..malang sekali, belum sempat dia melihat indahnya alam ini, belum sempat dia merasai titisan pertama air susu ibunya, belum sempat dia merasakan kasih sayang ayah ibunya, dia dihumban ke tempat yang tidak sepatutnya.. apakah dosa si kecil itu?

Hati ini seumpama ditoreh perlahan dengan belati tajam, tatkala mendengar lagi perkhabaran yang memeritkan, si kecil bukan saja dibuang malah DI BAKAR di tempat pembuangan!! Ya Tuhan, apakah yang berbaki pada relung keimanan seorang insan? yang lagaknya umpama tiada lagi batas kemanusiaan.. Malah binatang sekalipun tidak pernah menyisihkan apatah lagi menyakiti keturunan, inikan pula manusia yang sewajarnya bertindak atas kewarasan akal yang dikurniakan Tuhan.. Inilah mungkin tandanya dunia makin menghampiri akhir zaman..

Baru-baru ini diberitakan, si kecil yang ditinggalkan telah dimamah anjing yang berkeliaran.. Tidak dapat dibayangkan, sekiranya si kecil masih bernyawa saat ditinggalkan, bagaimana jasad yang lemah itu tidak berupaya menepis terkaman haiwan yang menyakitkan, bagaimana dia meraung-raung kesakitan saat tangannya, kakinya dan seluruh anggotanya di siat-siat, di lapah lapah oleh anjing yang kelaparan.. tidakkah dikau ingin mengerti wahai insan..apa dosa si kecil itu.

Lewat hari ini, kita sering menuding jari, mencari-cari bahu untuk meletakkan kesalahan ini. Sedang kemungkaran ini terus menerus berleluasa dan bermaharajalela.. Hentikan kecaman, hentikan kutukan, hentikan salah menyalah, hentikan tuding menuding..Sekarang masanya kita bersama mencegah kemungkaran, cegah sebelum parah, cegah sebelum nasi menjadi bubur, bukannya terus menerus mencaci dan mengeji, mencari kesalahan pada mereka di sekeliling, sedang pernahkah kita terfikir, mungkin kita juga penyumbang perilaku ini?

Sejujurnya diri ini khuatir dengan fenomena ini, sangat khuatir.. Peringatan Tuhan dirasakan semakin hampir, dan tatkala ia datang adakah kita yakin diri akan terkecuali? Bahkan mungkin kita yang merasakan diri akan selamat ini yang akan terlebih dahulu dikecam Allah, lantaran sikap mementingkan diri yang menguasai fikiran. Adakan kita masih mampu berpeluk tubuh wahai teman? Dengan anggapan dirimu, keluargamu tidak mungkin akan terjebak dengan situasi ini, lantas kau tegar membiarkan saja saudara-saudara seagamamu di luar sana terus hanyut dengan dunia rekaan mereka sendiri? Adakah kalian boleh memberi jaminan, bahawa anakmu dan keturunanmu kelak juga akan selamat dari bahana ini?

Marilah, berbuat sesuatulah untuk ummat ini.. Tika si burung kecil menyediakan jawapan atas kemampuannya yang terbatas, menyelamatkan Ibrahim dari bakaran api yang marak, maka apakah pula jawapanmu tatkala ditanya tentang maraknya api jahiliah yang membakar ummat ini, adakah dengan menjadi baik pada dirimu dan keluargamu, sudah cukup untuk dikau menuntut anak kunci syurga dari Tuhan, dengan beralasan dikau sudah benar-benar beriman? Sedangkan hakikat keimanan itu bukan menjadikan dikau pentingkan diri, bahkan membentuk dirimu menjadi insan sejati yang turut membawa kebaikan kepada ummat disekelilingmu.. mari perbaiki diri, dan islahkan masyarakat..

Jangan sekadar meratap melihat kejahilan ummat, tak usah sekadar mencemuh menghadapi kepincangan akhlak, kitalah seumpama doktor yang harus gerakkan usaha selamatkan ummat, kitalah yang harus sedarkan ummat tentang penyakit yang menimpa mereka, serta ubat yang boleh menyelamatkan mereka, walaupun hakikatnya hanya Allah yang mampu memberi kesembuhan sepenuhnya namun kita juga harus berperanan dalam melaksanakannya sebagai manifestasi keimanan terhadap sang Pencipta.

Jika ditanya bagaimana seharusnya kita bertindak? Banyak caranya, pelbagai mediumnya.. Sebagai mahasiswa, gunakan relung yang ada, manfaatkan wadah yang tersedia untuk kebaikan masyarakat kampus seadanya..Sumbanglah semampu mungkin kepada persatuan-persatuan yang berkaitan.. sekiranya ada kemampuan tenaga, kewangan mahupun buah fikiran dan saranan, sumbang dan bantulah..Manfaatkan sebarang posisi dalam masyarakat..Kemajuan teknologi juga boleh dipergunakan, sebarkan, tulislah lalu kongsikan bersama masyarakat.. Teroka dan gunakan kelebihan diri kurniaan Allah untuk memberi manfaat kepada orang lain.. Berfikirlah dan jangan pernah berhenti berfikir untuk ummat ini.. Semoga usaha yang kecil ini akan menjadi saksi dan hujahan di hadapan Allah kelak.. selamat berfikir dan selamat beramal..

Wassalam..

Tuesday, March 2, 2010

Ceritera IKHLAS..

Assalamualaikum..

Akhir-akhir ini, panas membahang, menyelubungi bumi Sintok dan sekitarnya, pepohon kekeringan,umat manusia kegelisahan, kepanasan.. turunnya bebutir hujan membasahi bumi amat-amat diharapkan..Namun yang dinanti tak kunjung tiba, mentari tetap bersinar gagah menembusi kepulan awan nipis yang berarak perlahan mengikut rentak angin.

Kesyukuran tak terhingga dipanjatkan kepadaNya atas segala nikmat yang dikurniakan. Minggu-minggu yang berlalu penuh dengan hikmah dan pengajaran.

Kisah 1: Misi Islah Bersama Masyarakat

Hujung minggu, beberapa minggu lalu, diberi peluang oleh Allah untuk bersama insan-insan bersemangat waja, berhati kental dalam menyuburkan syiar Islam, membawa misi pengislahan ke dalam masyarakat, mengaplikasikan teori dakwah yang dipelajari dalam usrah, daurah, tamrin dan katibah.

Kali ini lokasinya adalah Kampung Pulau Pisang, Jitra. Diketuai Swift biru, berkonvoi masuk meredah jalan kampung menuju destinasi yang ditetapkan tatkala mentari petang sedang galak bersinar. Ini kampung ke-3 yang 'ditawan' oleh Wanita dalam tahun ini, dan InsyaAllah akan ada lagi yang bakal menyusul.

Program kali ini, sepertimana misi konvoi yang lalu, direka khas untuk para ibu, anak-anak (aulad) dan para remaja. Bezanya kali ini, ada penambahan slot pemeriksaan kesihatan secara percuma. Ibu-ibu kelihatan sangat teruja untuk mengetahui tahap kesihatan masing-masing, tambahan pula dengan bekalan ubatan yang diberikan secara percuma kepada mereka.




Di program ini, ditakdirkan Allah untuk berjumpa seorang nenek, berusia lebih 70 tahun, yang pada fizikalnya kelihatan seperti berusia 50 tahun! Mampu berjalan kaki ke tempat program yang jauhnya boleh tahan, masih mampu membaca, tanpa cermin mata! Pendengaran juga sangat baik, malah dia tidak ada sebarang penyakit, yang lazimnya didapati pada insan-insan sebayanya.. Malah nenek ini juga kelihatan sangat ceria, menggambarkan hidupnya yang diselubungi kegembiraan dan kebahagiaan. Bila ditanya rahsia awet mudanya, ternyata ia bukan datang dari ubatan tertentu, sebaliknya dari KEIKHLASAN HATI yang penuh dengan kasih sayang, mendidik anak-anaknya yang ramai, sehingga semuanya berjaya! Kesakitan, kesusahan dan derita yang ditanggung untuk membesarkan anak-anak dibalasi Allah dengan nikmat kesihatan yang mengagumkan walaupun di saat meniti usia senjanya. Itulah, rahsia awet muda seorang ibu.

Kisah 2: Tamrin Zon Utara (TRAIN-U) 2010

Berkesempatan juga untuk menguruskan serta menyertai tamrin zon utara yang menghimpunkan sahabat-sahabat dari 4 negeri zon utara. Membawa tema Tarbiyah Bukan Segalanya, tapi Segalanya Bermula Dengan Tarbiyah, 150 pemuda pemudi Islam berhimpun di Kompleks Pendidikan Al Azhar untuk mengutip dan menghimpun mutiara-mutiara hikmah dan bekalan untuk mempersiapkan diri dalam melangkah di jalan dakwah.

Anak-anak muda ini diingatkan dengan bekalan yang diperlukan oleh dai'e dalam menapak di jalan dakwah berserta mehnah cabaran yang akan dihadapi saat menginfakkan diri di jalan ini. Juga perkongsian oleh beberapa insan yang telah disentuh hatinya oleh Allah untuk bersama-sama dalam barisan ini. Bagaimana daripada insan yang kosong jiwanya, longgar pegangannya akhirnya telah dipilih Allah untuk diisi hati-hati mereka dengan sinar hidayah yang mengerakkan jasad dan roh mereka kearah pengabdian sepenuhnya kepada Allah, bagaimana peranan seorang dai'e yang menjadi asbab transformasi insan-insan pilihan Allah ini.



Dengan berbekalkan sekali lagi, KEIKHLASAN HATI dan nilai-nilai murni seorang Muslim sebenar yang ditunjukkan oleh para da'ie, akhirnya disinilah insan-insan pilihan tadi berdiri, meneruskan legasi kerja-kerja Dakwah dan Islah dengan harapan insan-insan lain disekeliling mereka dapat merasai akan manisnya sentuhan hidayah Allah sebagaimana yang dirasai mereka satu masa dahulu. Subhanallah, rasa sungguh bertuah ditakdirkan Allah berkenalan dengan kata-kata keramat Dakwah dan Islah, tanpanya mungkin kehidupan ini sekadar berlalu tanpa ada apa-apa istimewanya.

Kisah 3: Surah Yunus ayat 24

"Sesungguhnya bandingan kehidupan dunia hanyalah seperti air hujan yang Kami turunkan dari langit, lalu (tumbuhlah dengan suburnya) tanaman-tanaman di bumi dari jenis-jenis yang dimakan oleh manusia dan binatang - bercampur-aduk dan berpaut-pautan (pokok-pokok dan pohonnya) dengan sebab air itu hingga apabila bumi itu lengkap sempurna dengan keindahannya dan berhias (dengan bunga-bungaan yang berwarna-warni), dan penduduknya pun menyangka bahawa mereka dapat berbagai-bagai tanaman serta menguasainya (mengambil hasilnya) datanglah perintah Kami menimpakannya dengan bencana pada waktu malam atau pada siang hari lalu Kami jadikan dia hancur-lebur, seolah-olah ia tidak ada sebelum itu. Demikianlah Kami menjelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi kaum yang mahu berfikir (dan mengambil iktibar daripadanya)."

Usai tamrin selesai, pimpinan Kedah berkumpul untuk mesyuarat berkala kali ke-2, berdiskusi serta duduk bersama merangka gerak kerja agar misi Dakwah dan Islah dapat dipacu sekencang dan semaksima mungkin. Tersentuh dengan tazkirah pembukaan oleh seorang ikhwah, saat dibacakan ayat ke-24 dari Surah Yunus. Bagaimana Allah menggambarkan kehidupan para da'ie ibarat titisan hujan yang menyuburkan bumi. Insan yang bergelar da'ie sedaya mungkin berperanan menyuburkan syiar Islam ke muka bumi hingga terzahirlah masyarakat yang hidup berlandaskan syariat Islam, umpama pepohon, tumbuhan, bebunga dan buah-buahan yang segar, subur dengan penuh warna warni. Sehingga akhirnya si da'ie merasakan dia akan beroleh ganjaran dari usahanya 'bercucuk tanam' menyubur panji Islam di muka bumi sehingga sedikit demi sedikit terhakis KEIKHLASAN HATInya dalam menggerakkan usaha dakwah, lantas saat itulah Allah menghancurkan semua 'hasil tanamannya' kerana telah hilangnya ramuan utama dalam gerak kerjanya yang seharusnya bertunjangkan keikhlasan kerana Allah s.w.t..

Begitulah ceritera IKHLAS yang mewarnai mingu-minggu yang berlalu. Terima Kasih padaMu Ya Allah, masih banyak ruang dalam diri ini perlu dibaiki, masih banyak kerja-kerja yang perlu dilaksana di keterbatasan waktu yang ada ini. Waktu terus berdetik, berlalu pergi meninggalkan daku, sedang amat sedikit tugasan yang telah terlaksana, bahkan terlalu banyak hutangku padaMu Ya Allah. PadaMu kumohon sedikit lagi masa, juga sedikit kekuatan buat meneruskan tugasan-tugasan terakhirku..

Wassalam

Monday, March 1, 2010

Rindu ini..

Saat nafasmu dipenghujung nyawa
nasib umatmu yang kau resahkan
Saat sakitnya sakaratulmaut tiba
kau meminta biar kau saja menanggung segala kesakitan
Saat rohmu hampir menemui Tuhan
ummati.. ummati..terus kau lafazkan
Sungguh kasihmu tulus tidak pernah padam

Biarpun pemergianmu mengundang duka
Namun kau bekalkan kami dengan cinta
Dengannya kami menyusun cita-cita
Agar suatu hari akan bertemu akhirnya di syurga

Ya Rasulullah kami rindu padamu
Ya Rasululllah kasihmu agung tiada bandingan

Rindu ini, jangan biarkan ia padam
Rindu ini, jangan biarkan ia kelam
Rindu ini biarkan ia menjadi obor penguat semangat
buat meneruskan perjuangan di medan jihad
Rindu ini biarkan ia menjadi penawar kedukaan
tatkala menapak di jalan jihad
Rindu ini biarkan ia menjadi pancang peneguh tekad
dalam memburu keredhaan Tuhan

Ya Allah
Izinkan aku menjadi pejuangMu
Ya Allah
Izinkan aku meneruskan perjuangan rasulMu

Ya Rasulullah
Takkan ku biarkan usahamu terhenti
Ya Rasulullah
Akan ku pastikan syiar mulia ini terus berdiri

Dengan izinMu Ya Ilahi
Izinkan aku menapak di jalan ini
Kerana ku tahu kejayaan itu pasti
Walaupun tika itu bukan aku menjadi saksi
Walaupun tika itu aku tiada lagi di sini..